Wednesday, January 18, 2012

Erti "Application Software" (Perisian Aplikasi)

(tajuk berkaitan: maksud perisian aplikasi, erti perisian aplikasi, apa itu perisian aplikasi)

(English)

Application Software (Melayu:Perisian Aplikasi) adalah sejenis kategori perisian komputer di mana perisian tersebut melakukan tugasan khusus untuk pengguna akhir komputer (end users). Contohnya, perisian aplikasi grafik menyediakan alat-alat khusus untuk pengguna melakukan kerja grafik.

Tuesday, January 17, 2012

Perbezaan antara Data dan Maklumat


Dalam percakapan biasa, kita kadangkala menyebut istilah data dan maklumat bertukar ganti seolah-olah tidak ada beza antara kedua-dua perkataan tersebut. Dari perspektif Sistem Komputer, terdapat perbezaan di antara "Data" dan "Maklumat".

Data ditakrifkan sebagai fakta tentang sesuatu perkara.

Contohnya:
a. kos sepasang kasut adalah RM5,
b. harga jualan sepasang kasut adalah RM10 dan
c. jumlah pasang kasut di dalam stok adalah 3.

Ketiga-tiga pernyataan di atas merujuk kepada fakta yang wujud dalam senario tertentu.

Maklumat ditakrifkan sebagai 1)data yang telah diproses dan menjadi 2)sesuatu yang berguna dalam proses membuat keputusan.

Contohnya dalam senario di atas, antara keputusan penting yang mungkin berkaitan dengan fakta ini adalah "Adakah jual beli kasut menguntungkan?"

Untuk mencapai keputusan "Ya" atau "Tidak", kita perlu memproses data (a,b, dan c) supaya menghasilkan jawapan yang dikehendaki. Dalam bidang pengajian perniagaan, kita tahu bahawa formula pulangan jualan = kuantiti x ( harga jualan - harga kos). Sekiranya nilai kiraan adalah positif, ia bermakna "untung". Sekiranya sebaliknya, ia bermakna "rugi".

Berdasrkan formula ini, kita akan memproses data seperti berikut:
Pulangan Jualan = 3 x (10-5)
= 15

Angka 15 adalah positif, maka jual beli ini menguntungkan. Lalu, Jawapan kepada soalan asal "Adakah jual beli kasut menguntungkan?" adalah Ya.

Dalam contoh di atas, angka 15 dianggap sebagai "maklumat" kerana angka inilah yang membantu kita menjawab soalan "Adakah jual beli kasut menguntungkan?".

Erti Perkataan "Computer System" (Sistem Komputer)


Perkataan "system" (Melayu:"sistem") merujuk kepada satu gabungan komponen yang bertindakbalas antara satu sama lain bagi mencapai tujuan ia ditubuhkan.

Istilah "Computer System" (Melayu:"Sistem Komputer") bermaksud satu sistem yang bertujuan untuk memproses maklumat. Secara amnya, komponen tipikal bagi Sistem Komputer adalah seperti berikut:

1) Perisian (Software).
Perisian mengandungi set arahan untuk diikuti oleh komputer.

2) Perkakasan (Hardware).
Perkakasan mengandungi komponen elektronik atau elektromekanikal yang melakukan tugasan logikal dan fizikal.

3) Data.
Data adalah fakta yang diberikan kepada komputer untuk pemprosesan maklumat.

4) Tatacara (Procedure).
Tatacara mengandungi senarai langkah operasi untuk diikuti oleh (manusia) pengendali.

5) Manusia Pengendali.
Manusia pengendali adalah anggota sistem yang bertanggungjawab terhadap sesuatu aktiviti pemprosesan maklumat.

Sesebuah Sistem Komputer berkemampuan untuk berinteraksi dengan Sistem Komputer yang lain. Teknologi masakini, contohnya TCP/IP, membolehkan setiap komputer saling berhubungan dengan cara yang mudah lalu membentuk "Computer Networks" (Melayu:"Rangkain Komputer").



Topik Berkaitan:

Monday, January 16, 2012

Maksud Komputer


Komputer ialah sebarang peralatan, mesin atau alat yang digunakan untuk memproses maklumat, berpandukan kepada prosedur/arahan yang ditetapkan.

Awalnya, perkataan komputer bermaksud pengira. Mesin komputer dibina untuk melakukan pengiraan matematik yang kompleks. Kelebihan mesin komputer adalah seperti berikut: 1) pantas, 2) tepat dan 3) pengurusan memori yang cekap.

Sebahagian besar mesin komputer pada hari masih lagi berteraskan senibina Jon Von Neumann. Senibina ini menyatakan bahawa sistem komputer harus ada empat bahagian utama; 1) Unit Aritmetik Logik, 2) Litar pengawal, 3) memori, dan 4) peranti input/output.

Topik berkaitan:
  • Senibina Jon Von Neumann
  • Kelebihan mesin komputer
  • Maksud Computer Memory (Memori Komputer)
  • Maksud Arithmetic Logic Unit, ALU (Unit Aritmetik Logik)
  • Maksud Peranti Input/Output

Apa itu Microsoft Access?


Microsoft Access adalah perisian komputer yang diklasifikasikan sebagai "perisian pangkalan data" ("database"). Aplikasi pangkalan data digunakan oleh pengguna yang mahu mengumpul dan menjejaki maklumat. Contohnya, senarai telefon, senarai tetamu, rekod jualan atau apa sahaja maklumat berguna yang lain.

Perisian Microsoft Access sudah lama berada di dalam pasaran. Antara versi yang terbaru adalah Microsoft Access 2010. Versi ini boleh digunakan bersendirian (standalone) atau melalui jaringan komputer (computer networks).

Kategori Perisian Komputer (Computer Software)

(English)

Perisian komputer dapat diklasifikasikan mengikut kategori seperti berikut:
1) Operasi Sistem
2) Pembangunan Aplikasi
3) Aplikasi

Perisian Sistem Operasi (Kategori 1) adalah sangat mustahak bagi sesebuah mesin komputer untuk berfungsi manakala Perisian Pembangunan Aplikasi (Kategori 2) digunakan untuk membangunkan Perisian Aplikasi (Kategori 3)

Topik Berkaitan:

Sunday, January 15, 2012

Erti perkataan perisian komputer ("computer software")

(maksud perkataan software, erti perkataan software, makna perkataan software)

(English version)

Software (atau "computer program"), dalam Bahasa Melayu dikenali sebagai perisian (atau "program komputer"), merujuk kepada set arahan yang mengawal aktiviti mesin komputer.

Istilah software digunakan untuk membezakannya dengan komponen hardware (sistem komputer secara amnya terdiri dari hardware, software, data, tatacara dan orang). Hardware merupakan komponen fizikal yang boleh dilihat manakala software merupakan komponen logik yang tidak dapat dilihat secara fizikal.

Topik berkaitan:

Erti Perkataan E-Commerce

(Makna perkataan E-Commerce, Maksud perkatan E-Commerce)


Perkataan E-Commerce (electronic Commerce) (Bahasa Melayu: E-Dagang) adalah merujuk kepada aktiviti jualan dan belian barang menerusi jaringan elektronik atau perkhidmatan dan aktiviti lain yang berkaitan dengan aktiviti ini.

E-Commerce mula diperkenalkan semasa tahun 1970-an melalui perkhidmatan Electronic Data Interchange (EDI) dan perkhidmatan Electronic Fund Transfer (EFT). Perkhidmatan EDI membolehkan organisasi bertukar maklumat transaksi perniagaan. Manakala perkhidmatan EFT adalah khusus untuk pertukaran maklumat kewangan.

E-Commerce berkembang pesat semasa tahun 1990-an apabila Tim Berners Lee memperkenalkan perkhidmatan World Wide Web (Web). Menerusi Web, konsep perniagaan maya muncul. Contohnya, Amazon.com dan Dell.com telah mula untuk menggunakan Internet sebagai saluran jualan utama mereka semasa era ini.

Aktiviti E-Commerce boleh diklasifikasikan kepada peringkat berikut:
1. Komunikasi.
2. Tempahan.
3. Bayaran.
4. Serahan.
(Baca seterusnya tentang peringkat E-Commerce)


Friday, January 6, 2012

Peringkat-peringkat aktiviti E-Commerce


Aktiviti E-Commerce boleh diklasifikasikan seperti berikut:
1. Komunikasi.
2. Tempahan.
3. Bayaran.
4. Serahan.

1. Komunikasi.
Ini adalah peringkat awal di mana sesebuah organisasi mula terlibat di dalam E-Commerce. Organisasi perniagaan berinteraksi dengan sasaran pengguna pada peringkat ini. Terdapat beberapa motif seperti berikut:

a. Menyebarkan maklumat tentang perniagaan atau produk.
Syarikat besar selalunya membeli nama domain dan menerbitkan laman web yang mana boleh diakses melalui nama domain tersebut. Cara ini dipanggil komunikasi sehala; pengunjung laman web diharapkan faham apa yang hendak disampaikan.

b. Mendapatkan maklumbalas.
Syarikat turut memerlukan maklumbalas dari pengunjung untuk mengukuhkan aktiviti pemasarannya. Oleh itu, sesetengah laman web membenarkan pengunjung meninggalkan komen. Atau setidak-tidaknya, alamat e-mail ada tertera di laman web untuk pengunjung menulis kepada syarikat. Cara ini dikenali sebagai komunikasi dua hala.

c. Menyediakan interaksi masa nyata.
Terdapat sesetengah urusan yang memerlukan pelanggan berinteraksi dengan wakil syarikat secara masa nyata. Oleh itu, terdapat juga laman web yang menyediakan aplikasi chatting.

Hari ini, terdapat banyak pilihan untuk perniagaan mewujudkan laman web. Syarikat boleh membeli nama domain dan membayar perkhidmatan hosting yang menyediakan aplikasi laman web seperti Joomla, Wordpress dan lain-lain. Alternatifnya, syarikat juga boleh melanggan perkhidmatan percuma seperti wordpress.com atau blogger.com. Kedua-dua contoh ini menawarkan aplikasi penerbitan laman web dalam bentuk blog.